Travel News‎ > ‎

RASA HALAL VIETNAM - Rasa Halal Musim 5 Kini Menjelajah Di Bumi Vietnam

posted May 18, 2011, 1:07 AM by Mickey Dong Hoang Thinh   [ updated May 18, 2011, 1:08 AM ]

Program masakan berbentuk travelogue, Rasa Halal yang sebelum ini telah pun disiarkan di saluran Astro Oasis kini sudah pun memasuki musim yang kelima.

Menyedari sambutan yang diberikan terhadap program tersebut amat tinggi, edisi kelima, Rasa Halal terus berusaha menyelusuri keindahan makanan halal yang ada di bumi Vietnam.

Jelas Pengurus Saluran Oasis, Izelan Basar, program tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan memandangkan masyarakat Islam yang mahu ke luar negara menjadikannya sebagai rujukan yang berguna.

"Program ini menarik kerana ia menyediakan maklumat mengenai makanan yang halal di negara Orient. Bagi orang kita yang berminat mahu mengunjungi lokasi-lokasi berkenaan sememangnya program ini sebagai panduan. Kita mahu mempamerkan lokasi yang mudah untuk dipergi dan murah dari segi perbelanjaannya.

"Kita tak mahu mempamerkan sebuah-sebuah lokasi yang nak pergi pun mahal tambang, belum campur lagi dengan makan dan sebagainya," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Rasa Halal musim kelima, di Damansara baru-baru ini.

Menyambung cerita kata Izelan, pada awalnya program berkenaan hanya mempamerkan makanan halal sesebuah negara terpilih namun kini ianya telah diperluaskan dengan mempamerkan sisi kebudayaan, sejarah dan keindahan negara yang dipilih.

"Mula-mula dulu kita tunjuk hanya makanan sahaja, tapi sekarang kita dah kembangkan lagi. Semua ini atas permintaan penonton, kita bukan sahaja nak tunjukkan makanan yang halal semata-mata tapi kita bawa penonton lihat tempat bersejarah, lokasi menarik dan sebagainya termasuk masjid-masjid di setiap negara yang mempunyai indahan dan perbezaan,"katanya lagi.

Sementara itu bagi pengacaranya Farah Anuar atau lebih dikenali dengan nama Farah AF berkata, berpeluang memegang tugas selama lima musim cukup mengembirakan hatinya.

"Bukan senang kita nak kekal lama untuk sesebuah program . Saya bersyukur kerana masih diberi kepercayaan oleh pihak stesen Oasis. Malah, saya sendiri sudah jatuh cinta dengan program ini,"jelasnya yang manis dengan imej bertudung.

Berkongsi pengalamannya sepanjang diperantauan dan merasai segala kelaianan dan keunikan masakan di sesebuah negara kata Farah AF, dia bersyukur kerana tidak mempunyai masalah sepanjang dilokasi.

"Alhamdulillah saya tak mengalami sebarang masalah ketika rakaman. Bahkan meskipun saya tak pernah makan, makanan di negara seperti Vietnam ini tapi apabila saya mencuba saya tak mempunyai masalah atau tak boleh makan makanan itu. Jadi saya amat bersyukur kerana tugas saya sering dipermudahkan," jelasnya lagi.

Bercerita mengenai lokasi Vietnam yang baru sahaja dikunjunginya itu, kata Farah AF, ianya merupakan sebuah lokasi yang sesuai untuk dilawati.

"Sepanjang di Vietnam, makanan halal senang diperolehi. Tempatnya juga menariknya dan penduduknya juga ramah.Lebih menarik lagi ramai juga orang-orang kita yang duduk di sana dan senang sekali menerima kedatangan kita.

"Kalau nak membeli-belah Vietnam merupakan lokasi yang seronok juga untuk kita memilih barang kerana ada pasar dan tempat-tempat yang disediakan untuk kita berbelanja.

"Tapi Vietnam juga ada tempat-tempat bersejarah yang seronok untuk kita kunjung seperti terowong bawah tanah yang mereka bina sewaktu perang bersama tentera Amerika Syarikat dulu. Saya sendiri berjaya memasuki separuh terowong dan melihat keadaan di sana," ujarnya.

Comments